Jumaat, 27 November 2015

Pekerja muda digalakan banyak menyimpan

Pekerja muda perlu lebih banyak menyimpan bagi memastikan mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk kehidupan selepas persaraan, yang terbaik mengumpulkan 12 hingga 14 kali gaji tahunan terakhir mereka, kata Allianz Asset Management AG.

Ini penting kerana skim pencen persaraan Malaysia tidak menyediakan pendapatan persaraan yang mencukupi, kata Ketua International Pensions, Brigitte Miksa.

“Pekerja yang hampir dengan usia persaraan hari ini akan menghabiskan aset mereka dalam tempoh lima tahun pertama daripada persaraan mereka.

“Justeru, mewujudkan fasa perbelanjaan terancang dengan anuiti sebagai elemen utama merupakan satu cara untuk melindungi individu daripada risiko lanjut usia (risiko hidup lebih lama daripada aset),” katanya pada sidang akhbar susulan taklimat mengenai ‘Kesediaan Persaraan di Malaysia dan Pembaharuan Diperlukan’ di sini, pada Jumaat.

Memetik petunjuk Allianz Retirement Income Adequacy, Miksa berkata pendapatan persaraan yang disediakan oleh skim pencen Malaysia merupakan antara yang kurang mencukupi dalam kalangan 49 negara.

Beliau berkata satu daripada langkah paling efektif bagi meningkatkan kecukupan adalah melanjutkan hayat bekerja, kerana ia mengurangkan risiko hidup lebih lama daripada aset terkumpul dan melanjutkan proses penyimpanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, Rangam Bir berkata pekerja muda perlu mula menyimpan seawal mungkin.

“Untuk memiliki aset jangka panjang yang mapan, anda perlu mempunyai sumber berpotensi bagi persaraan.

“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, merupakan satu daripadanya, tetapi setiap individu perlu mempunyai pemilikan sendiri dengan memiliki akaun skim persaraan swasta berasingan, atau produk berkaitan insurans hayat atau kesihatan,” katanya.

Rangam berkata aset yang disimpan sehingga usia persaraan 55 tahun tidak mencukupi kerana pekerja hidup lebih lama berikutan kenaikan jangka hayat.

Bahagian pasaran insurans hayat Allianz ketika ini berjumlah lapan peratus dan dijangka berkembang dengan produk baharu dalam perancangan pada tahun depan.

Sumber:TheRakyatPost

Tiada ulasan:

Catat Ulasan