Ahad, 22 November 2015

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris ucap Tahniah

KUALA LUMPUR, Isnin — Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini mengucapkan tahniah kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang muncul juara pertandingan debat tahunan antara universiti Cambridge (Cambridge IV).

“Tahniah kepada UiTM dan UIAM kerana muncul juara pada Pertandingan Debat  Intervarsity Cambridge baru-baru ini,” kata Idris menerusi catatan terbaharu dalam laman Facebook beliau hari ini.

Idris juga merakamkan ucapannya kepada thestar.com.my yang menyiarkan berita mengenai kejayaan pelajar-pelajar universiti di Malaysia, dengan UiTM memenangi hadiah utama bagi pertandingan keseluruhan, sementara UIAM menjuarai kategori  Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL), pada pertandingan yang diadakan selama dua hari mulai Jumaat lepas di Universiti Cambridge, United Kingdom.

UiTM diwakili Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho, kedua-duanya berusia 22 tahun.

UIAM diwakili oleh Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20, yang menewaskan Universiti Tel Aviv dari Israel serta Leiden A dan Leiden B, kedua-duanya dari Belanda.

Sebanyak 128 pasukan daripada pelbagai universiti termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Trinity College Dublin, menyertai pertandingan itu. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan