Ahad, 22 November 2015

Ibrahim International Business District Bakal Majukan Johor



JOHOR BAHRU, 22 Nov – Projek Ibrahim International Business District (IIBD) dan Coronation Square bakal melonjakkan Johor Bahru menjadi sebuah pusat perniagaan terkemuka di rantau ini, setanding dengan bandar-bandar yang terkemuka dunia.

Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata pembangunan strategik itu penting kerana dapat membantu meningkatkan taraf hidup komuniti setempat, menerusi limpahan kesan perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lebih dinamik.

"Kedudukan Johor Bahru strategik kerana ia adalah salah satu pintu masuk utama negara, selain terletak bersebelahan dengan kota metropolis antara yang termaju dan membangun di dunia, Singapura"

"Johor Bahru perlu dilonjakkan sebagai Jauhari Selatan yang berciri global kerana ia bakal terhubung dengan infrastruktur Rangkaian Keretapi Laju yang moden yang disokong oleh pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa serta menerusi pertambahan penduduk dan kepesatan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Ibrahim International Business District dan Coronation Square yang disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

Mohamed Khaled berkata Coronation Square yang akan dibina berhampiran pusat itu bakal menjadi satu lagi mercu tanda ikonik Johor Bahru.

"Diharapkan ia mampu untuk tampil setanding dengan mercu tanda utama dunia seperti Trafalgar Square di London dan Times Square di New York," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, menurut Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, inisiatif itu merupakan kerjasama di antara JCorp dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Pelan Transformasi Johor yang mengutamakan pembangunan pro-rakyat yang inklusif.

Projek Coronation Square, dengan keluasan 2.53 hektar, akan menelan belanja RM3 bilion, manakala projek IIBD akan membabitkan pakej pembinaan  pusat perubatan, blok pangsapuri perkhidmatan, pejabat, hotel dan pusat perniagaan di atas tanah seluas 101 hektar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan